Page

Kami menyediakan pelbagai genre bahan bacaan digital untuk setiap lapisan umur secara PERCUMA. Sekiranya berminat untuk berkongsi karya penulisan anda. Boleh hantarkan karya tersebut kepada admin di onlinenovel2u@gmail.com

Sunday, 23 September 2012

Andai Ku Bercinta Lagi : 18


Seiring dengan jam dinding yang berdetik, kelihatan seorang pemuda yang tinggi lampai dan bertubuh sasa sedang mengemaskan beg pakaiannya. Begitu banyak pakaian yang dimasukkan ke dalam luggage miliknya seperti mahu pergi ke suatu tempat yang jauh untuk satu tempoh masa yang lama. Baru semalam majlis doa selamat telah dilakukan bagi mendoakan kesejahteraan setiap ahli keluarga dalam rumah tersebut.

Kepenatan dan lenguh di setiap sendi badannya masih lagi bersisa. Namun, Adam mengerti bahawa segalanya perlu dilakukan dengan segera kerana masa telah semakin suntuk. Sekiranya tidak diuruskan dengan sebaiknya mungkin akan mengundang masalah yang tidak diingini.

“Adam….” panggil Datin Marziah

“Ya, mama. Masuklah, Adam tengah mengemas ni.”ucap Adam pada insan yang berada di luar.

“Adam dah siap mengemas semua barang ke? Flight Adam pukul 9.30 malam kan?” tanya Datin Marziah kepada anak terunanya.

“Haah.... flight Adam pukul 9.30 malam. Adam dah nak siap kemas semuanya ada sikit lagi je yang tinggal” ucap Adam.

“Baguslah kalau macam tu. Pastikan dokumen-dokumen penting dah simpan dengan baik. Nanti susah kalau ada yang kurang. Esok kita akan bertolak awal sebab takut jalan sesak sebab mungkin nanti bertembung dengan orang-orang yang baru balik kerja.”terang Datin Marziah.

“Baik, mama”balas Adam dalam nada yang menurut sahaja kata mamanya.

Setelah selesai mengemas, Adam hanya duduk di balkoni biliknya sambil melihat bintang-bintang yang bersinar. Bintang-bintang itu kelihatan seperti butiran beribu berlian yang terapung di langit malam. Segalanya begitu tenang dengan bertemankan angin malam yang bertiup sempoi-sempoi bahasa.

Telefon bimbit Samsung berwarna hitam milik Adam terletak kemas di atas mejanya. Telefon tersebut dicapai perlahan dan aplikasi mesej pesanan ringkas dibuka. Satu demi satu ucapan selamat yang diterima daripada teman-teman rapat dibaca oleh Adam dengan penuh perhatian. Namun, mesej pesanan ringkas yang diterima daripada Dania beberapa malam yang lalu masih berlegar di dalam kotak fikiran Adam. Pesanan yang ringkas tetapi begitu terkesan di hati Adam


Buat Adam;
Masa telah berlalu untuk bertahun-tahun lamanya dan keadaan sentiasa berubah. Namun, hati ini masih  merasakan bahawa masih ada rasa sayang yang tersimpan untukmu. Moga kau akan sentiasa selamat dan berjaya di rantauan. Doaku akan sentiasa mengiringimu.

                                                                                                Daripada Dania

Setelah bertahun-tahun terputus hubungan semenjak tamat tingkatan 3, tiba-tiba gadis ini muncul kembali dalam hidupnya demi untuk meluahkan rahsia hati yang terpendam. Tindakan tersebut pastinya telah mengundang kejutan dalam jiwa Adam. Dalam keadaan Adam terleka berfikir tanpa disedari dia terlena sehingga dinihari. Mungkinkah rasa hati yang sentiasa menafikan perasaan itu akan berubah suatu hari nanti. Adam sendiri sudah tidak begitu pasti dengan hati miliknya.

No comments:

Post a Comment