Page

Kami menyediakan pelbagai genre bahan bacaan digital untuk setiap lapisan umur secara PERCUMA. Sekiranya berminat untuk berkongsi karya penulisan anda. Boleh hantarkan karya tersebut kepada admin di onlinenovel2u@gmail.com

Wednesday 30 May 2012

Andai Ku Bercinta Lagi : 2


Setelah selesai solat Isyak berjemaah di surau , semua pelajar berpusu-pusu pulang ke bilik masing-masing. Begitulah rutin harian pelajar MRSM Pendang. Kelihatan Siti Fateha, Ain Azzah dan Atie Nazirah yang merupakan teman sebilik Dania di sini sedang sibuk bersiap-siap untuk keluar. Entah ke manalah arah tujuan mereka malam minggu begini. Tapi Dania lebih selesa bertindak sebagai pemerhati kerana penat akibat latihan silat petang tadi masih tak hilang lagi.
           
“Wei, Dania! Kau nak ikut kita orang tak? Malam ni ada cerita Charmed kat  NTV7”, kata Azzah merujuk kepada cerita 3 adik-beradik ahli sihir perempuan yang cukup popular di televisyen pada ketika itu.

“Kalau nak , jomlah pergi awal sikit. Kalau tak nanti penuhlah”, tingkah Teha.

“Aku penat sangat lah. Korang jer la yang pergi tengok, lepas tu cerita kat aku nanti” balas Dania dengan nada malas. Dania menolak lembut pelawaan mereka yang setia menantinya dengan wajah sekupang itu secara terhormat kerana tak mahu mareka terasa hati. Maklumlah, hanya dengan mereka bertiga sahajalah Dania menumpang kasih sebagai anak rantau.

Bagi Dania rehatnya itu lebih penting berbanding cerita televisyen kerana dia tidak mahu keletihan pada keesokan harinya ketika waktu sekolah kerana tidak cukup rehat. Melihat cadar katil yang masih tegang tanpa terusik seperti menarik Dania untuk berbaring merehatkan tubuhnya. Melihat kipas syiling putih yang ligat berputar pada kelajuan maksimum membuatkan Dania  terleka sebentar membilang saat yang berlalu. Tanpa disedari, entah sejak bila Dania  terlena. Beberapa saat kemudian yang terdengar hanyalah hembusan lembut nafas Dania diiringi ombak dadanya yang memaparkan keletihan yang ditanggung.
           
“DUMPP!!” Bunyi benda jatuh yang entah datangnya dari mana telah mengejutkan Dania dari tidurnya yang nyenyak. Saat matanya dibuka , Dania melihat biliknya masih lagi cerah bercahaya. Jam tangan yang terletak kemas di tepi bantal segera dicapai. Dia tertanya-tanya di mana agaknya Teha, Azzah dan Atie waktu-waktu begini sedangkan jam telah menunjukkan pukul 12.30 malam. Melihat tiga katil di dalam bilik tersebut masih kosong membuatkan Dania kebingungan. Perasaan panik mula menerjah.

Tombol pintu yang masih berkunci rapat dipulas perlahan oleh Dania. Niat di hati untuk melihat barangkali ada sesiapa yang berada di luar. Puas melihat ruang kiri dan kanan tingkat 3 aspuri tersebut. Namun, tiada kelibat seorang pelajar pun yang kelihatan. Hanya Dania yang berdiri di situ sambil ditemani angin malam yang menumpang lalu untuk berhembus di lorong tengah tingkat tersebut. Mungkinkah Dania bermimpi?

Tiba-tiba Dania terdengar bunyi satu suara halus dari luar tingkap biliknya. Dania yang masih dalam perasaan kebingungan segera pergi membuka tingkap dan melihat terdapat sekumpulan pelajar perempuan sedang berkumpul di hadapan dewan makan. Degupan jantungnya semakin kencang, rasanya kalau ditoreh pun semua kulit di badan Dania di saat ini pastinya tidak akan ada darah yang mengalir. Apa yang paling ditakuti akhirnya menjadi mimpi ngeri Dania malam itu. Masakan dia tak tahu sebarang maklumat pun berkaitan “roll-call” yang dibuat oleh ketua warden yang cukup terkenal dengan dan amat digeruni itu iaitu Cikgu Shukri atau lebih dikenali dengan nama Pak Sok.

“Wargh! Matilah aku kali ni, mesti kena voodoo dengan Pak Sok ni”, kata Dania memberi amaran pada diri sendiri.

Saat ini Dania merasakan bahawa dia sedang menghadapi sumpahan yang maha dahsyat tahap dewa dalam hidupnya seperti ini adalah saat pengakhiran kehidupan. Tanpa menunggu dengan lebih lama lagi Dania segera mencapai tudungnya serta baju sejuk kerana dia hanya berbaju lengan pendek dan segera turun untuk menghadapi hukuman mandatori daripada Pak Sok. “Ya Allah, bantulah hambamu ini”.Hanya itu yang mampu dia bisikkan ke dalam hatinya sebagai peniup  semangat.

Ketika Dania berjalan menghampiri tangga yang berdekatan dengan tempat pelajar lain berkumpul menyebabkan semua mata yang berada di situ tertumpu kepadanya. Pak Sok yang saat itu sedang memberikan syarahan keramatnya juga tiba-tiba terhenti dan melihat kearah Dania dengan penuh tanda tanya. Tanpa dipinta Dania yang masih lagi mengantuk bagai dipukau segera berjalan menuju kehadapan Cikgu Shukri untuk memberikan penjelasan. Tindakan Dania yang bagaikan banduan di dalam penjara datang memberikan laporan harian hanya diperhatikan oleh ketua warden tersebut melalui ekor matanya.

“Minta maaf cikgu. Saya tertidur tadi , tak tahu pula yang cikgu ada buat roll-call malam-malam macam ni”, terang Dania pada Pak Sok dengan muka yang mengantuk.

“Nama kau siapa? Buat apa kau tiba-tiba turun? Aku ingat makhluk asing mana pulak yang berjalan malam-malam buta ni” kata Pak Sok dengan nada yang serius.“Ait... dah buat roll-call mestilah aku turun. Takkan aku nak naik pula kot?” jawab Dania dalam hati. Dia sendiri tak pasti sama ada Pak Sok benar-benar serius atau sengaja berlakon serius di hadapannya.

Tanpa dipinta Dania segera memberikan penjelasan. “Nama saya Nur Dania Insyirah Mohd Affendy. Tadi saya tertidur sebab penat sangat lepas balik dari latihan silat.Tapi, waktu saya bangun dari tidur, saya tengok semua roommate saya tak ada. Lepas tu saya tengok ada roll-call kat bawah ni sebab tu lah saya turun sebab saya takut roommate saya kena denda pula kalau tak cukup ahli dalam bilik”,kata Dania cuba membela dirinya yang dirasakan tak bersalah.

“Mana roommate kau pergi? Kena culik ke?” ucap Pak Sok sambil matanya dicerlungkan memandang Dania yang sedang tegak berdiri di hadapannya.

“Manalah saya tahu ,cikgu. Apa yang saya tahu roommate saya dah hilang” kata Dania yang tidak mahu mengaku kalah. Tiba-tiba sahaja semua pelajar yang ada di situ tergelak terbahak-bahak selepas mendengar jawapan yang diberikan oleh Dania. Bingung..

Dania merasakan tiada apa yang salah dalam jawapannya. Tetapi dia hairan mengapa semua pelajar yang berada di situ menghemburkan tawa yang bagai ditahan sekian lama. Mindanya pada waktu itu berada pada keadaan separa sedar. Namun, cuba di perah untuk mencari jawapan. “Roommate saya dah ‘hilang’. ‘Hilang’....Perkataan itu yang menyebabkan merekan tertawa kerana frasa perkataan tersebut memberikan tanggapan seperti Atie, Azzah dan Teha telah diculik” monolog Dania sendirian.

Itulah bahana kerana terlebih hebat daripada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ketika menggunakan frasa kata sesuka hati dalam ayat pertuturan. Seharusnya perkataan tersebut boleh digantikan dengan perkataan yang lebih sesuai. Namun, siapa yang tak kenal dengan Dania. Setiap tutur kata yang dilontarkan oleh Dania kebanyakkan hanya mengikut sesedap lontaran lidahnya sahaja. Atie yang merupakan teman baik Dania juga mengambil masa untuk memahami maksud perkataan Dania dalam setiap ayat yang dituturkan. Tapi itulah uniknya Dania.

Setelah selesai sesi gelak ketawa, akhirnya Dania pun mengambil tempat menyertai pelajar lain. Dia pun terpaksa mendengar sambungan syarahan Pak Sok. Sepuluh minit kemudian mereka semua dibenarkan bersurai. “Ya Allah, banyak ni je syarahan Pak Sok. Buat penat je aku turun tadi,siap dapat malu yang berguni-guni pulak tu” omel Dania sendirian dalam hati. Mahu sahaja dia membuat plastic surgery pada mukanya saat ini. Malu yang teramat.

Semenjak insiden tesebut Dania benar-benar telah dikenali bukan hanya di kalangan pelajar perempuan tingkatan 1 tetapi juga pelajar perempuan tingkatan 4 dengan gelaran ‘budak hilang’. Populariti yang meningkat secara tiba-tiba telah membuatkan hidup Dania bertambah ceria. Tercipta satu sejarah hidupnya. Mungkin agak memalukan. Namun, Dania pasti masih mampu bercerita dengan senyuman pada anak-anak dan cucunya nanti.


Saturday 26 May 2012

Andai Ku Bercinta Lagi : 1


Minggu sesi suai kenal antara pelajar-pelajar baru akhirnya telah sampai ke penghujungnya. Maklumlah, kumpulan pelajar sesi tahun 2001 adalah anak sulung bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang. Boleh dikatakan semua kemudahan di sini masih baru dah tidak lengkap lagi. Kata orang belajar di mana-mana pun sama sahaja, asalkan ada kemahuan di situ ada jalan.

“Ermm… kalau ikutkan tentatif dalam jadual yang aku dapat, pukul 8.30 pagi ini patutnya ada program ceramah dengan kaunselor di dewan besar”monolog Dania. Sepanjang minggu ni, tiap-tiap hari pun memang akan dipenuhi dengan sesi ceramah yang sememangnya menjadi teman setia dan halwa telinga Dania. “ Tak boleh lewat ni. Kalau tidak, silap hari bulan nanti matilah aku kena gelak dengan budak-budak lelaki tu” bisik Dania sendirian. Itulah hadiah istimewa yang akan menanti pelajar yang hadir lewat ke program yang telah diaturkan.

Benar-benar tidak diduga oleh Nur Dania Insyirah Mohd Affendy, dalam banyak-banyak negeri dalam Malaysia ni, tercampak juga dia di negeri jelapang padi ni untuk meneruskan cita-cita dan impiannya. Namun, demi hasrat yang murni ini Dania tetap bertahan bagi menjadi contoh sebagai kakak sulung kepada adik-adiknya yang lain.
           
Di hadapan Dania saat ini, tersergam bangunan empat tingkat yang sebahagian besarnya dilitupi dengan cermin kaca. Bangunan tersebut boleh diibaratkan sebagai sebuah rumah kaca gergasi. Apa yang membezakan ialah rumah kaca yang sebenar berfungsi untuk menanam tumbuhan yang sebenar tetapi rumah kaca di hadapan mata Dania ini adalah untuk memastikan jiwa-jiwa muda yang sedang membesar di dalamnya akan lahir menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Eh, aku ni patutnya duduk dalam kelas mana ek? Harap-harap janganlah tingkat atas sekali. Kalau tak... sah tak sampai tiga minggu dekat sini mesti berat aku turun 5 kg.” Kalau tak silap kelas Dania sepatutnya di 1 Futuristik. Erm… nama itu kalau hanya didengar saja pun dah mampu membuatkan Dania kecut perut. Tapi manalah duduknya kelas yang hebat sangat tu. Dania masih berkira-kira sendirian.

Sedang Dania mengatur langkah perlahan-lahan di balkoni tingkat dua itu. Tiba-tiba satu suara yang lunak  datang menyapa Dania. “Hai awak duduk kelas mana? Saya Alia Athirah kelas 1 Futuristik kat sana tu. Awak boleh panggil saya Atie”, kata gadis itu sambil menghulurkan salam perkenalan dan menunjukkan arah kelas 1 Futuristik. “Cantik juga budak ini”, gumam Dania sendirian di dalam hati.

Dia terdiam sebentar cuba untuk mencari ayat yang sesuai. Sambil tersenyum, perlahan-lahan Dania menyambut salam perkenalannya. “Saya Dania, kelas 1 Futuristik. Selamat berkenalan.” Akhirnya satu persahabatan antara Dania dan Atie mula terjalin. Bermulalah perjalanan hidup Dania di MRSM Pendang ini. Segala pengalaman yang akan mengajarnya erti sebuah kehidupan yang sedang menanti dengan penuh debaran di masa hadapan.

........................................................................................................................................................

“Kring…………” loceng merah yang tergantung di dinding mula berbunyi. Menandakan waktu rehat telah tiba.  Nasib baik waktu rehat dah sampai. Bolehlah juga Dania mengisi perutnya dengan dua ketul kuih di dewan selera. Kalau ada rezeki lebih dapatlah lebih sikit. Lagi pun dari tadi lagi perutnya ni sibuk mengalunkan rentak irama daripada irama Etnik Malaysia sampailah irama Pop Rock. Maklumlah, sejak di tingkatan 2 banyak benar perkara yang perlu diuruskan oleh Dania.

Selain daripada proses pembelajaran di dalam kelas, Dania turut memegang jawatan sebagai ketua kelas. Bebanan tanggungjawab tersebut membuatkan Dania memerlukan tenaga yang banyak. Kalau nak harapkan makanan kat kafetaria, memerlukan belanja yang agak besar bagi seseorang yang bertaraf pelajar seperti Dania. Jadi kenalah berjimat cermat sikit. Dania tak boleh selalu boros sebab poketnya ini sentiasa nipis saja. Maklumlah hidup sebagai pelajar ni cuma mengharapkan ehsan mama, abah dan biasiswa MARA setiap bulan. Lagi pula Dania sejak dari kecil lagi memang dah dididik supaya tidak membazir.

“Bilalah nak sampai giliran aku ni” gumam Dania sendirian ketika dalam barisan selepas berlari-lari anak dari bilik guru menuju ke dewan makan.  Memang bertuah badan Dania sebab ada kawan macam Atie. Temannya yang seorang ni memang cukup penyabar dan memahami.Kalau Atie tak tolong Dania berbaris pasti dia dah jadi orang yang paling akhir sekali. Ini semua berpunca dari Cikgu Aina yang meminta tolong Dania untuk bawakan barang ke bilik guru.

“Tak baik merungut Dania. Itu tandanya Cikgu Aina tu sayang dan percaya pada kau. Tambahan lagi, kau pun dapat pahalakan. Betul tak?”kata Atie.

Betul juga kata Atie. Tetapi Atie memang selalu macam tu. Kalau hendak dibandingkan Dania dengan Atie. Mereka berdua ibarat langit dan bumi, tetapi kerana itulah saling melengkapi hidup di sini dan menyebabkan mereka menjadi sahabat. Tambah beruntung lagi, Atie juga turut menjadi teman sebilik Dania di asrama. Atie merupakan seorang yang feminin,lemah-lembut dan penyabar tetapi Dania pula mempunyai sifat yang bertentangan.

“Eh, Dania. Kenapa ramai sangat orang kat papan kenyataan tu? Jom pergi tengok nak tak?” Atie mengajukan pertanyaan kepada Dania. Belum sempat Dania memberikan jawapan, Atie segera menarik tangannya menuju ke arah kumpulan pelajar di hadapan papan kenyataan. Dania cuba memanjangkan leher untuk melihat apa yang dipaparkan di papan kenyataan. Dania terjingkit-jingkit sambil mencari ruang untuk melihat benda yang dipaparkan di papan keyataan tersebut sehingga menyebabkan begitu ramai penonton yang berkumpul di situ. Begitu asyik mencuba Dania terleka.

Tiba-tiba Dania dikejutkan dengan satu suara. “Woi! Apa ni pijak kasut aku. Ketepilah.Kau ni tak nampak ke apa? Ada mata tak nak guna”. Dania terkejut sebentar dan segera melihat kearah lantai dan mendapati bahawa dia telah memijak kasut seorang budak lelaki yang dirasakan sebaya dengannya sehingga meninggalkan sedikit kesan kotor. Dania segera meminta maaf pada budak lelaki tersebut, sangkanya kemarahan budak lelaki itu akan reda. Tetapi sangkaan tersebut meleset kerana budak itu berterusan memarahi Dania di khalayak ramai seperti gunung berapi yang sedang memuntahkan larvanya.

“Woi! Aku dah minta maaf tu sudahlah. Kau ni apsal kecoh sangat la. Habis, kau nak aku buat apa? Tak kan nak jilat kasut kau tu kot.  Kau ingat kau tu bagus sangat ke?” Dania menghamburkan segala kemarahannya sambil menatap mata budak lelaki itu walaupun ada getar dalam hatinya.

Budak lelaki tersebut terus terdiam saat melihat Dania mula bertindak balas dengan amukannya. Cuba untuk kelihatan tenang seperti tiada apa yang berlaku, budak lelaki tersebut menarik nafas panjang sambil melihat ke arah sesuatu.  “Erm…Nur Dania Insyirah. Nama yang sedap tapi tak sepadan dengan tuannya” balas budak tersebut dengan nada sinis sambil mencapai tag nama yang  dipakai oleh Dania.

“Apa kau cakap mamat sengal!” bidas Dania dengan suara yang tinggi.

Disebabkan takut pergaduhan tersebut menjadi lebih hebat, Atie telah bertindak pantas dengan menarik Dania berlalu dari situ. Kalau diikutkan hati Dania rasanya lagi teruk akan dia kerjakan budak yang perasan bagus tu.

“Bengong betullah mamat tu. Kalau kau tak tarik aku tadi lama dah aku bagi penumbuk sulung kat mamat sengal tu. Kau tahu tak budak kelas mana tu Atie?” tanya Dania pada Atie.

“Dania……kalau tak silap aku budak yang kau marah tadi tu nama dia Adam. Budak yang paling terkenal dan ahli kumpulan ‘Devil Boy’. Dia tu belajar di kelas 2 Amanah. Boleh dikatakan budak pandailah” balas Atie.

“Erm……memang dah ada ciri-ciri devil pun. Sesuai sangatlah nama tu dengan dia”.Menyampah betul Dania dengan makhluk yang bernama Adam tu.

Friday 25 May 2012

Sinopsis : Andai Ku Bercinta Lagi

DANIA
Permainan cinta zaman remaja benar-benar telah membuatkan Dania serik untuk menyerahkan hati suci miliknya sekali lagi untuk menyayangi seorang manusia yang bernama LELAKI. Lebih menakutkan untuk memberi ruang kepada rasa CINTA menyelinap dalam hatinya. Cukuplah memori pahit yang pernah diberikan oleh Adam suatu saat dahulu.

IRFAN
Anak muda yang mempunyai prinsip tersendiri dalam menikmati kehidupan. Sifat yang bersahaja dan sedikit angkuh membuatkan Dania sentiasa naik berang. Pertelingkahan sering sahaja terjadi di antara mereka berdua. Namun, dalam sifat yang menjengkelkan itu Irfan punya sifat kelembutan yang mampu melentur hati Dania yang pernah menjadi sekeras batu suatu masa dulu.

ADAM
Merupakan kisah silam yang benar-benar mahu terus dilupuskan oleh Dania dari memori kehidupannya.  Setelah  masa berlalu Adam kembali mencari ruang untuk menghuni hati milik Dania yang pernah dihancurkan suatu ketika dahulu. Namun, cabaran Adam untuk memiliki sekeping hati milik Dania kini lebih sukar daripada mengharungi denai berduri.

Mampukah cinta suci dan sejati untuk bersatu? Siapakah yang mampu melembutkan hati yang sekeras batu dan seteguh besi waja itu? Dapatkah hati serapuh kristal milik Dania untuk bertahan?.......Hanya takdir dan masa yang menjadi saksi