Page

Kami menyediakan pelbagai genre bahan bacaan digital untuk setiap lapisan umur secara PERCUMA. Sekiranya berminat untuk berkongsi karya penulisan anda. Boleh hantarkan karya tersebut kepada admin di onlinenovel2u@gmail.com

Saturday, 26 May 2012

Andai Ku Bercinta Lagi : 1


Minggu sesi suai kenal antara pelajar-pelajar baru akhirnya telah sampai ke penghujungnya. Maklumlah, kumpulan pelajar sesi tahun 2001 adalah anak sulung bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang. Boleh dikatakan semua kemudahan di sini masih baru dah tidak lengkap lagi. Kata orang belajar di mana-mana pun sama sahaja, asalkan ada kemahuan di situ ada jalan.

“Ermm… kalau ikutkan tentatif dalam jadual yang aku dapat, pukul 8.30 pagi ini patutnya ada program ceramah dengan kaunselor di dewan besar”monolog Dania. Sepanjang minggu ni, tiap-tiap hari pun memang akan dipenuhi dengan sesi ceramah yang sememangnya menjadi teman setia dan halwa telinga Dania. “ Tak boleh lewat ni. Kalau tidak, silap hari bulan nanti matilah aku kena gelak dengan budak-budak lelaki tu” bisik Dania sendirian. Itulah hadiah istimewa yang akan menanti pelajar yang hadir lewat ke program yang telah diaturkan.

Benar-benar tidak diduga oleh Nur Dania Insyirah Mohd Affendy, dalam banyak-banyak negeri dalam Malaysia ni, tercampak juga dia di negeri jelapang padi ni untuk meneruskan cita-cita dan impiannya. Namun, demi hasrat yang murni ini Dania tetap bertahan bagi menjadi contoh sebagai kakak sulung kepada adik-adiknya yang lain.
           
Di hadapan Dania saat ini, tersergam bangunan empat tingkat yang sebahagian besarnya dilitupi dengan cermin kaca. Bangunan tersebut boleh diibaratkan sebagai sebuah rumah kaca gergasi. Apa yang membezakan ialah rumah kaca yang sebenar berfungsi untuk menanam tumbuhan yang sebenar tetapi rumah kaca di hadapan mata Dania ini adalah untuk memastikan jiwa-jiwa muda yang sedang membesar di dalamnya akan lahir menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Eh, aku ni patutnya duduk dalam kelas mana ek? Harap-harap janganlah tingkat atas sekali. Kalau tak... sah tak sampai tiga minggu dekat sini mesti berat aku turun 5 kg.” Kalau tak silap kelas Dania sepatutnya di 1 Futuristik. Erm… nama itu kalau hanya didengar saja pun dah mampu membuatkan Dania kecut perut. Tapi manalah duduknya kelas yang hebat sangat tu. Dania masih berkira-kira sendirian.

Sedang Dania mengatur langkah perlahan-lahan di balkoni tingkat dua itu. Tiba-tiba satu suara yang lunak  datang menyapa Dania. “Hai awak duduk kelas mana? Saya Alia Athirah kelas 1 Futuristik kat sana tu. Awak boleh panggil saya Atie”, kata gadis itu sambil menghulurkan salam perkenalan dan menunjukkan arah kelas 1 Futuristik. “Cantik juga budak ini”, gumam Dania sendirian di dalam hati.

Dia terdiam sebentar cuba untuk mencari ayat yang sesuai. Sambil tersenyum, perlahan-lahan Dania menyambut salam perkenalannya. “Saya Dania, kelas 1 Futuristik. Selamat berkenalan.” Akhirnya satu persahabatan antara Dania dan Atie mula terjalin. Bermulalah perjalanan hidup Dania di MRSM Pendang ini. Segala pengalaman yang akan mengajarnya erti sebuah kehidupan yang sedang menanti dengan penuh debaran di masa hadapan.

........................................................................................................................................................

“Kring…………” loceng merah yang tergantung di dinding mula berbunyi. Menandakan waktu rehat telah tiba.  Nasib baik waktu rehat dah sampai. Bolehlah juga Dania mengisi perutnya dengan dua ketul kuih di dewan selera. Kalau ada rezeki lebih dapatlah lebih sikit. Lagi pun dari tadi lagi perutnya ni sibuk mengalunkan rentak irama daripada irama Etnik Malaysia sampailah irama Pop Rock. Maklumlah, sejak di tingkatan 2 banyak benar perkara yang perlu diuruskan oleh Dania.

Selain daripada proses pembelajaran di dalam kelas, Dania turut memegang jawatan sebagai ketua kelas. Bebanan tanggungjawab tersebut membuatkan Dania memerlukan tenaga yang banyak. Kalau nak harapkan makanan kat kafetaria, memerlukan belanja yang agak besar bagi seseorang yang bertaraf pelajar seperti Dania. Jadi kenalah berjimat cermat sikit. Dania tak boleh selalu boros sebab poketnya ini sentiasa nipis saja. Maklumlah hidup sebagai pelajar ni cuma mengharapkan ehsan mama, abah dan biasiswa MARA setiap bulan. Lagi pula Dania sejak dari kecil lagi memang dah dididik supaya tidak membazir.

“Bilalah nak sampai giliran aku ni” gumam Dania sendirian ketika dalam barisan selepas berlari-lari anak dari bilik guru menuju ke dewan makan.  Memang bertuah badan Dania sebab ada kawan macam Atie. Temannya yang seorang ni memang cukup penyabar dan memahami.Kalau Atie tak tolong Dania berbaris pasti dia dah jadi orang yang paling akhir sekali. Ini semua berpunca dari Cikgu Aina yang meminta tolong Dania untuk bawakan barang ke bilik guru.

“Tak baik merungut Dania. Itu tandanya Cikgu Aina tu sayang dan percaya pada kau. Tambahan lagi, kau pun dapat pahalakan. Betul tak?”kata Atie.

Betul juga kata Atie. Tetapi Atie memang selalu macam tu. Kalau hendak dibandingkan Dania dengan Atie. Mereka berdua ibarat langit dan bumi, tetapi kerana itulah saling melengkapi hidup di sini dan menyebabkan mereka menjadi sahabat. Tambah beruntung lagi, Atie juga turut menjadi teman sebilik Dania di asrama. Atie merupakan seorang yang feminin,lemah-lembut dan penyabar tetapi Dania pula mempunyai sifat yang bertentangan.

“Eh, Dania. Kenapa ramai sangat orang kat papan kenyataan tu? Jom pergi tengok nak tak?” Atie mengajukan pertanyaan kepada Dania. Belum sempat Dania memberikan jawapan, Atie segera menarik tangannya menuju ke arah kumpulan pelajar di hadapan papan kenyataan. Dania cuba memanjangkan leher untuk melihat apa yang dipaparkan di papan kenyataan. Dania terjingkit-jingkit sambil mencari ruang untuk melihat benda yang dipaparkan di papan keyataan tersebut sehingga menyebabkan begitu ramai penonton yang berkumpul di situ. Begitu asyik mencuba Dania terleka.

Tiba-tiba Dania dikejutkan dengan satu suara. “Woi! Apa ni pijak kasut aku. Ketepilah.Kau ni tak nampak ke apa? Ada mata tak nak guna”. Dania terkejut sebentar dan segera melihat kearah lantai dan mendapati bahawa dia telah memijak kasut seorang budak lelaki yang dirasakan sebaya dengannya sehingga meninggalkan sedikit kesan kotor. Dania segera meminta maaf pada budak lelaki tersebut, sangkanya kemarahan budak lelaki itu akan reda. Tetapi sangkaan tersebut meleset kerana budak itu berterusan memarahi Dania di khalayak ramai seperti gunung berapi yang sedang memuntahkan larvanya.

“Woi! Aku dah minta maaf tu sudahlah. Kau ni apsal kecoh sangat la. Habis, kau nak aku buat apa? Tak kan nak jilat kasut kau tu kot.  Kau ingat kau tu bagus sangat ke?” Dania menghamburkan segala kemarahannya sambil menatap mata budak lelaki itu walaupun ada getar dalam hatinya.

Budak lelaki tersebut terus terdiam saat melihat Dania mula bertindak balas dengan amukannya. Cuba untuk kelihatan tenang seperti tiada apa yang berlaku, budak lelaki tersebut menarik nafas panjang sambil melihat ke arah sesuatu.  “Erm…Nur Dania Insyirah. Nama yang sedap tapi tak sepadan dengan tuannya” balas budak tersebut dengan nada sinis sambil mencapai tag nama yang  dipakai oleh Dania.

“Apa kau cakap mamat sengal!” bidas Dania dengan suara yang tinggi.

Disebabkan takut pergaduhan tersebut menjadi lebih hebat, Atie telah bertindak pantas dengan menarik Dania berlalu dari situ. Kalau diikutkan hati Dania rasanya lagi teruk akan dia kerjakan budak yang perasan bagus tu.

“Bengong betullah mamat tu. Kalau kau tak tarik aku tadi lama dah aku bagi penumbuk sulung kat mamat sengal tu. Kau tahu tak budak kelas mana tu Atie?” tanya Dania pada Atie.

“Dania……kalau tak silap aku budak yang kau marah tadi tu nama dia Adam. Budak yang paling terkenal dan ahli kumpulan ‘Devil Boy’. Dia tu belajar di kelas 2 Amanah. Boleh dikatakan budak pandailah” balas Atie.

“Erm……memang dah ada ciri-ciri devil pun. Sesuai sangatlah nama tu dengan dia”.Menyampah betul Dania dengan makhluk yang bernama Adam tu.

No comments:

Post a Comment