Tahun 2004 telah menjelang tiba. Pada tahun ini, bermulalah perjalanan
hidup Dania ke dunia tingkatan 4 dan bakal menghadapi SPM. Dunia ini tidak
banyak bezanya dengan keadaan Dania sebelum ini ketika di menengah rendah.
Namun, saat ini boleh dikatakan bahawa dunia yang bakal dihadapi nanti
merupakan zaman untuk Dania menginjak ke alam dewasa. Tetapi permasalahan yang
membelenggu fikiran Dania adalah sama ada ingin terus kekal di MRSM Pendang
atau pun bertukar ke MRSM Serting?
“Nia....Nia nak pilih belajar kat mana ni? Mama dan abah akan setuju dengan
apa sahaja pilihan Dania. Tapi kalau boleh biarlah dekat dengan rumah. Kalau
ada apa-apa masalah senanglah mama dengan abah nak datang” bicara Puan Norish
yang sememangnya lemah lembut. Itulah mama dan abah yang amat disayangi Dania.
Mereka sentiasa akan mengutamakan pendapat Dania sebelum membuat sebarang
keputusan.
“Nantilah, Nia fikirkan dulu. Nia perlukan masa untuk berfikir sendirian.
Esok atau lusa Nia akan berikan jawapannya pada mama dan abah” ucap Dania
keadaan fikiran yang kusut. Fikiran
Dania yang sememangnya sedang berkecamuk telah menyebabkan segalanya mula
berbelah bagi. Dua pilihan yang berada di tangan Dania memerlukan dia untuk
melakukan pertimbangan yang sewajarnya. Dua tempat yang berbeza, memberikan
jalan kehidupan yang berlainan untuk Dania.
MRSM Serting merupakan satu tempat yang baru bagi Dania. Tapi itulah
permintaan mama dan abah dan mungkin membuatkan Dania memerlukan masa untuk
menyesuaikan diri. MRSM Pendang pula telah hampir menjadi sebahagian daripada
hidup Dania. Dia benar-benar selesa berada di sana, pelbagai kenangan hidupnya
tersimpan di sana.
Dania hanya mampu bermonolog sendirian bagi mencari jawapan yang pasti.
Berharap moga Allah S.W.T akan membantu dirinya untuk memilih yang terbaik
dalam hidup. Segalanya mula berperang di dalam diri Dania sendiri. Malam itu
Dania lebih senang bersendirian merenung bintang-bintang malam dari meja
belajar yang terletak berhampiran tingkap.
Tangannya mula membelek-belek simpanan buku-buku agama, doa-doa harian
serta solat-solat sunat yang tersusun rapi di rak buku kayu. Akhirnya, mata
Dania terpaku pada sesuatu yang cukup menarik perhatiannya. Tangan Dania mula
berhenti menyelak pada satu muka surat yang tertulis perkataan ‘Solat Istikharah’.
Mungkin istikharah ialah jawapan bagi persoalan di fikiran Dania kini. Mungkin
juga inilah jalan yang Allah S.W.T ingin tunjukkan kepadanya.
Usai solat Isyak Dania hanya duduk berteleku sebentar di atas sejadah. Dia
benar-benar mengharapkan semoga doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T serta
dapat memilih yang terbaik. Dania memulakan solat Istikharah dalam keadaan yang
begitu tenang dan sunyi. Ketika setiap mata insan yang menghuni di dalam rumah
kecil itu sedang nyenyak diulit mimpi indah. Hanya sesekali bunyi unggas cuba
mencelah di balik keheningan malam yang dingin. Dalam doanya yang terakhir,
Dania titipkan harapan semoga Allah S.W.T akan membantu dirinya. Saat itu,
Dania benar-benar terasa begitu kerdil sekali.
‘Kembalilah kepada kekasih pertama’. Kedengaran seperti suatu gurauan
tetapi tngkapan tersebut benar-benar memberikan kesan mendalam kepada memori
Dania semenjak bangkit dari tidur yang lena.
No comments:
Post a Comment