Page

Kami menyediakan pelbagai genre bahan bacaan digital untuk setiap lapisan umur secara PERCUMA. Sekiranya berminat untuk berkongsi karya penulisan anda. Boleh hantarkan karya tersebut kepada admin di onlinenovel2u@gmail.com

Monday 30 July 2012

Andai Ku Bercinta Lagi : 12


Setelah selesai program abseiling pada pukul 5.30 petang, semua pelajar perlu berjalan kaki sejauh 4 km untuk sampai ke tapak perkhemahan yang terletak di Bukit Wang. Tapak perkhemahan tersebut benar-benar terletak di hujung kawasan taman rekreasi Bukit Wang. Apabila tiba di kawasan tapak perkhemahan, matahari telah beransur-ansur tenggelam. Semua pelajar berkejar-kejar untuk bersiap sedia bagi menunaikan solat asar dan menunggu untuk aktiviti seterusnya.

Waktu mandi merupakan saat yang paling menimbulkan masalah. Bagi pelajar lelaki pastilah segalanya akan berjalan lancar. Tetapi lain pula ceritanya bagi pelajar perempuan. Tambahan pula, tempat mandi yang disediakan untuk pelajar perempuan terletak betul-betul di tepi sungai. Apa yang membezakan ialah bagi pelajar lelaki disediakan kawasan mandi yang terbuka. Manakala untuk pelajar perempuan ialah kawasan separuh tertutup di bahagian yang bertakung. Bagi Dania, semua itu hanya masalah kecil sahaja kerana dia selalu mandi sambil mengenakan pakaian lengkap setiap kali  melakukan aktiviti luar.

Setelah selesai, mereka perlu berkumpul di kawasan tanah lapang yang dipenuhi dengan batu kerikil. Akibat kepenatan daripada aktiviti abseiling yang agak extreme ditambahkan lagi dengan jarak perjalanan yang agak jauh dari tempat aktiviti ke tapak perkhemahan menyebabkan ramai pelajar yang terlewat untuk berkumpul.

 Oleh kerana kelewatan yang berlakukan telah menyebabkan Dania serta kawan-kawannya yang lain terpaksa menyilangkan tangan di belakang leher seperti pendatang haram tanpa izin yang ditahan ketika operasi serbuan secara besar-besaran. Hendak atau tidak terpaksalah Dania berjalan seperti itik yang kena tahan. Tetapi seronok juga keadaan sebegitu, rasanya mungkin dia tidak akan mengalami lagi keadaan sebegitu bersama-sama teman-teman yang lain.

Selesai makan malam, semua pelajar menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Muhammad Alif di bawah lelangit malam yang dipenuhi oleh bintang-bintang di langit utara. Tempoh di antara solat Magrib dan Isyak telah diisi dengan pengisian tazkirah daripada Tuan Haji Nazir yang memegang jawatan sebagai Penolong Pengetua Hal Ehwal Pelajar di MRSM Pendang. Selepas solat Isyak, Kapten Salmi yang bertindak selaku kem komander telah menyampaikan taklimat untuk program kedua yang akan berlansung pada malam itu.

Sewaktu taklimat disampaikan telah membuatkan Dania terasa seram sejuk kerana segalanya disampaikan dalam keadaan separuh berbisik seperti segala tindakan yang mereka lakukan dan katakan bagaikan ada sesuatu yang sedang melihat dan mendengar. Bulu roma Dania mula berdiri. Sejuk rasanya. Kapten Salmi juga turut memberikan kata laluan yang perlu mereka ingat sepanjang program tersebut berjalan.

No comments:

Post a Comment