Page

Kami menyediakan pelbagai genre bahan bacaan digital untuk setiap lapisan umur secara PERCUMA. Sekiranya berminat untuk berkongsi karya penulisan anda. Boleh hantarkan karya tersebut kepada admin di onlinenovel2u@gmail.com

Sunday, 24 June 2012

9 FORMULA KEJAYAAN PERNIAGAAN -Dr. Azizan

Admin hanya ingin berkongsi dengan para pembaca berkaitan 
(9 FORMULA KEJAYAAN PERNIAGAAN- oleh Dr. Azizan)
Buat yang baru hendak berjinak dengan dunia perniagaan seharusnya memahami dan aplikasi formula-formula berguna yang telah diberikan oleh DAO. Selamat berjaya semua.
Jangan pernah jemu untuk menuntut ilmu yang mampu memberikan nilai tambah dan memperbaiki hidup kita dengan lebih baik.




Ramai orang yang bekerja atau mereka yang baru menceburi bidang perniagaan yang bertanya saya tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan mereka. Tetapi, ramai mereka ini yang ingin berniaga apabila ditanya kenapa mereka mahu berniaga, rata-ratanya akan menjawab "Sebab ingin kaya!" atau "Ingin banyak duit!". Tetapi berdasarkan pengalaman serta kajian saya sendiri, saya mendapati hampir 90% yang baru berniaga, mereka bukan sahaja tidak buat banyak duit, tetapi akhirnya mereka bukan sahaja "tutup kedai" atau gagal serta mengalami kerugian atau menanggung hutang.


Saya bukan berniat menakut-nakutkan anda, tetapi itulah hakikat mereka yang mula berniaga tanpa prinsip M.E.S.T.I (M=Mentor, E=Elmu, S=Sistem/Strategi yang betul, T=Tindakan yang betul & I=Impian yang jelas). Ramai yang ghairah melihat orang lain berniaga dan berjaya merubah hidup mereka, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak ada ilmu berniaga atau mereka tidak ada mentor yang terbukti berjaya yang mereka boleh pelajari daripadanya dan mereka lebih rela "melanggar dinding" menghabiskan duit, buang masa dan tenaga "mencuba nasib" di dalam perniagaan baru yang mereka ingin mulakan.

Tahukah anda bahawa ada 9 formula atau langkah yang anda perlu lakukan untuk anda meningkatkan peluang kejayaan di dalam sesebuah perniagaan apatah lagi jika ianya akan menjadi perniagaan baru anda?

Pertama: Matlamat Perniagaan & Peribadi Yang Jelas

Sebelum anda mula berniaga, anda perlu jelas dengan apakah sebab utama anda ingin memulakan perniagaan tersebut? Kenapa anda ingin berniaga? Apakah yang anda inginkan daripada perniagaan tersebut? Apakah matlamat peribadi yang anda ingin capai dengan menggunakan perniagaan tersebut sebagai alat? Apakah impian anda? Adakah anda lakukannya untuk orang-orang yang anda sayangi?

Kebanyakan mereka yang berjaya di dalam perniagaan adalah mereka yang pada asalnya mempunyai matlamat yang jelas tentang kenapa mereka mahu mulakan perniagaan tersebut. Dan ramai juga yang bermula dengan tidak menyangka yang ianya akan menjadi perniagaan yang berjaya tetapi mereka mempunyai matlamat peribadi pada asalnya yang mereka ingin capai. Contohnya, Warren Buffet, salah seorang billionnaire dunia, lebih 35 tahun dahulu beliau bermula hanya daripada minat beliau terhadap produk-produk baru yang ada dipasaran dan menyebabkan beliau suka untuk membeli saham-saham yang ditawarkan oleh syarikat pengeluar produk-produk tersebut dan akhirnya semua saham yang beliau beli meningkat beratus ribu kali ganda berpuluh tahun kemudian. Mark Zuckerberg bermula dengan matlamat peribadi untuk mengenali ramai gadis-gadis di universitnya dan akhirnya terciptalah satu sistem internet yang dipanggil "Facebook". Ada sesetengah jutawan peserta program saya yang bermula daripada tanpa wang atau sedikit wang di dalam poket mereka tetapi disebabkan mereka bermatlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang yang mereka sayangi, maka mereka mulakan perniagaan tersebut.

Kenapa matlamat yang jelas ini penting? Selain daripada ianya dapat membantu anda untuk mempunyai fokus yang anda ingin capai, ianya adalah lebih penting dikala anda berdepan dengan cabaran ataupun halangan di dalam perniagaan anda supaya anda akan sentiasa ingat, kenapa anda mulakan perniagaan tersebut dan untuk apa atau untuk siapa serta kenapa anda perlu buat sehingga berjaya.

Tuliskan dengan jelas apakah matlamat yang anda ingin capai serta tarikh ataupun tempoh bila anda mahu merealisasikan matlamat tersebut.

Kedua: Kenalpasti apakah masalah yang boleh diselesaikan dengan menggunakan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi yang bakal anda berikan?

Ya. Ini adalah sebab kenapa ramai usahawan terutamanya usahawan baru gagal memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan berkesan. Ramai usahawan yang saya jumpa bila ditanya, apakah masalah kritikal yang dihadapi oleh ramai orang yang menyebabkan mereka sangat memerlukan produk atau perkhidmatan anda? Ramai usahawan ini tidak mampu menjawabnya atau mereka menjawab tanpa keyakinan yang tinggi sehingga mereka tidak mampu meyakinkan saya sebagai pelanggan untuk menggunakan produk mereka, sedangkan produk mereka sebenarnya berkualiti tinggi.

Sebab itu amatlah penting untuk anda mengenalpasti sebanyak mungkin masalah yang boleh diselesaikan lantaran menggunakan produk atau perkhidmatan yang anda berikan. Contoh, sekiranya anda menjual karipap panas berintikan daging serta kentang diwaktu petang dan ianya memang sangat sedap. Masalah yang anda boleh selesaikan ialah anda menyelesaikan masalah mereka yang ingin minum petang berbekalkan karipap panas dikawasan-kawasan pejabat bukan? Anda juga menyelesaikan masalah isteri-isteri yang ingin menghidangkan karipap panas sedap untuk anak-anak mereka serta keluarga diwaktu petang dikawasan-kawasan perumahan. Anda juga menyelesaikan masalah mereka yang rindu karipap panas masakan ibu mereka dikampung.

Lebih banyak masalah yang anda boleh kenalpasti yang bakal anda dapat selesaikan dengan produk atau perkhidmatan anda, maka lebih mudah anda akan dapat pasarkannya serta lebih yakin orang dengan anda.

Ketiga: "Bootstrap"
Ramai orang yang beranggapan bahawa untuk berniaga, anda perlukan modal wang permulaan yang besar. Terus-terang saya katakan bahawa anda tidak semestinya bermula dengan modal yang besar, malah ramai peserta program-program keusahawanan saya yang memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan dengan tanpa modal atau dengan modal yang paling minima terlebih dahulu sehingga mereka benar-benar yakin untuk membesarkannya. Teknik memulakan perniagaan tanpa modal ini dipanggil sebagai "Bootstrap". Anda mulakan dengan apa sahaja yang anda ada. Anda gunakan apa sahaja bakat, minat atau kemahiran yang anda ada untuk ditawarkan kepada mereka yang perlukannya. Atau ramai yang bermula dengan menjual produk atau perkhidmatan orang lain terlebih dahulu. untuk menimba pengalaman serta mengumpulkan modal. Teori kisah Mat Jenin adalah sangat berguna untuk diambil iktibar. Mulakan dengan mengambil upah panjat kelapa, kemudian duit upah itu digunakan untuk membeli ayam, bila ayam bertelur, jual telurnya dipasar, kemudian kumpul duitnya sehingga cukup beli kambing, selepas bela kambing, jual susunya dan kemudian jual kambing sehingga dapat beli lembu, apabila telah mempunyai lembu, perah susunya dan jual sehinggalah satu hari nanti lembu semuanya boleh dijual dan Mat Jenin menjadi kaya.... Masalah yang ada dalam kisah Mat Jenin adalah, ianya adalah angan-angan sahaja tanpa tindakan.

Tetapi, kita boleh ambil iktibar kaedah "Bootstrap" yang digunakan serta kesabaran juga amat penting selain daripada sentiasa bersedia untuk memperbaiki diri.

Keempat: Test, Trial & Adjust
Sekiranya anda ingin berniaga serta memasarkan produk baru dipasaran ataupun anda ingin memasarkan perkhidmatan yang terbaru. Anda perlu "menguji" permintaan dipasaran dengan menjalankan percubaan serta ujian demi ujian dan bersedia mengubahsuai produk atau pekhidmatan anda sehingga ianya benar-benar mudah diterima oleh pasaran. Tidak ada produk yang baru dijual yang tidak diuji terlebih dahulu serta dibuat kajian pasaran. Contohnya karipap berinti daging dan kentang yang ingin kita pasarkan, ianya perlulah diberi makan kepada beberapa orang dalam tempoh sesuatu masa dan mendapatkan maklumbalas jujur mereka agar anda dapat mengubahsuai rasanya atau bentuknya sehingga anda benar-benar puashati sebelum anda jual dipasaran.

Kelima: Mengembangkan perniagaan menggunakan keuntungan daripada perniagaan anda bukan dengan pinjaman

Formula ini amat kritikal di dalam perniagaan, apatah lagi jika ianya adalah perniagaan baru. Hanya perniagaan yang untung ketika kecil yang akan untung bila ianya besar nanti. Konsistensi di dalam keuntungan akan membuatkan perniagaan anda mempunyai potensi aliran tunai yang bagus. Perancangan kewangan serta menyimpan sebanyak mungkin keuntungan secara konsisten akan membuatkan anda dapat mengembangkan lagi perniagaan anda tanpa anda perlu meminjam. Contohnya, anda telah memulakan perniagaan karipap anda ini secara kecil-kecilan dengan satu tapak. Dan tapak ini boleh berikan anda keuntungan bersih RM100 sehari. Apabila anda kumpulkan sebahagian duit keuntungan ini, maka ianya memungkinkan anda untuk membuka tapak yang kedua, ketiga, keempat dan tapak-tapak berikutnya dengan mudah tanpa pinjaman. Bayangkan jika dalam tempoh tertentu anda dapat mengembangkan tapak perniagaan anda kepada 10 tapak, maka ini bermakna anda boleh mendapatkan keuntungan bersih RM1,000 sehari melalui perniagaan karipap panas anda tersebut. Anda tidak perlu meminjam untuk mengembangkan perniagaan anda.

Keenam: Pilih "tentera" anda dengan teliti dan betul
Maksud "tentera" di sini adalah pekerja.Tidak ada orang yang akan mampu melakukan semua perkara berseorangan. Usahawan yang bijak adalah usahawan yang pandai memilih pekerja yang bagus untuk membantu kejayaan perniagaannya. Dalam hal ini, anda perlu belajar bagaimana memilih pekerja mengikut kriteria yang anda tentukan. Anda perlu tuliskan "pekerja impian" yang anda mahukan sebagai satu garis panduan anda di dalam memilihnya nanti.

Ketujuh: Mendapatkan fasiliti kewangan berdasarkan aliran tunai perniagaan anda yang positif

Setelah anda berniaga di dalam satu tempoh waktu dan anda berjaya konsisten di dalam keuntungan serta aliran tunai anda menunjukkan peningkatan yang konsisten serta positif, anda akan meletakkan diri anda serta perniagaan anda di dalam kategori usahawan yang mempunyai kredibiliti untuk diberikan pinjaman. Walaupun adalah bagus jika anda boleh mengembangkan perniagaan anda tanpa membuat sebarang pinjaman bank tetapi sekiranya aliran tunai anda adalah positif dan bagus, anda mungkin layak untuk mendapatkan fasilit atau pinjaman bank. Sebab itu amat penting untuk mempunyai disiplin dengan memasukkan duit jualan anda ke dalam satu akaun anda atau akaun perniagaan anda supaya ianya menunjukkan aliran tunai yang bagus dan konsisten. Kesilapan ramai usahawan baru dan kadang-kadang yang lama adalah mereka tidak memasukkan duit jualan mereka ke dalam akaun bank mereka terus, malah mereka terus ambil duit tersebut untuk beli stok atau sebagai modal pusingan. Ini merupakan kesilapan yang paling besar. Sekiranya satu hari nanti anda perlukan fasiliti kewangan daripada pihak bank, mereka tidak berapa berminat dengan "kisah" jualan perniagaan anda yang tinggi tanpa mereka dapat melihatnya masuk ke dalam akaun bank anda. Fasiliti kewangan atau pinjaman bank akan lebih mudah anda dapat sekiranya anda boleh menunjukkan aliran tunai yang konsisten, positif dan bagus masuk ke dalam penyata akaun bank anda.

Kelapan: Mulakan dengan berniaga secara sampingan
Ya benar! Sekiranya anda masih bekerja, saya mencadangkan agar anda mulakan perniagaan anda secara sampingan. Saya mempunyai peserta seminar saya yang suaminya masih bekerja sebagai seorang jurutera dan isterinya seorang pembantu perubatan, tetapi mereka juga memiliki sebuah perniagaan butik pakaian kanak-kanak dan bayi di sebuah pasaraya yang mereka jalankan secara sampingan. Saya juga mempunyai beberapa orang lain yang masih bekerja tetapi mengambil tempahan membuat kek dirumah setelah habis waktu kerja mereka. Anda hanya akan berhenti kerja apabila anda sendiri benar-benar yakin dengan perniagaan yang anda lakukan dan anda telah bersedia memberikan lebih banyak masa untuk pulangan yang lebih daripada masa yang anda gunakan untuk bekerja.

Kesembilan: Kuasai pemasaran- Sentiasa bersedia untuk "kembali ke sekolah"
Kunci utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan juga sudah pastinya bergantung kepada konsistensi pelanggan yang membeli daripada anda bukan? Jika produk makanan yang anda buat adalah sangat sedap tetapi jika tidak ada yang tahu serta mahu membelinya, maka anda mungkin terpaksa makan sendiri produk-produk tersebut. Ramai usahawan baru dan lama yang tidak sedar betapa pentingnya ilmu pemasaran supaya anda sentiasa menarik ramai pelanggan agar jualan anda serta keuntungan anda sentiasa tinggi. Ramai jug yang tidak tahu bagaimana untuk menjalankan strategi pemasaran yang mudah dan berkesan untuk perniagaan mereka. Sebagai usahawan, produk atau perkhidmatan anda pasti alan gagal jika ianya tidak dipasarkan dengan betul dan di sinilah pentingnya untuk anda bersedia "kembali ke sekolah", kembali meningkatkan ilmu pemasaran anda dengan belajar melalui buku-buku ataupun menghadiri seminar-seminar keusahawan atau pemasaran agar perniagaan anda tidak ketinggalan. Anda pasti hampir gagal jika pesaing anda mempunyai ilmu pemasaran yang lebih hebat daripada anda walaupun mungkin produk atau perkhidmatan mereka tidaklah sehebat produk anda!

*Sekiranya anda ingin mempelajari lebih banyak lagi ilmu keusahawanan dan strategi pemasaran, anda boleh hadir sendiri Percuma ke Klinik Usahawan Dr.Azizan Osman-Seminar Marketing Power 2012 dengan layari marketingpower.com.my atau hubungi 019/013-2442244. Hanya tinggal beberapa lokasi terakhir. -DAO-

No comments:

Post a Comment